Tuesday 15 April 2014

3 tumpuan khusus keadilan untuk menang pru14


PETALING JAYA 15 APRIL: KEADILAN hari ini mengumumkan tiga tumpuan khusus sebagai persediaan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), sekaligus menewaskan Umno Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga perkara berkenaan yang perlu diberi penekanan mencakupi sistem pencalonan, isu perkauman dan golongan muda.
Untuk aspek pertama, KEADILAN menurut Saifuddin bakal merubah sistem pencalonan iaitu berhubung rundingan kerusi dan senarai calon perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Mac 2015.
Katanya, langkah ini sebagai iktibar daripada pengalaman PRU 13, yang menyaksikan pemilihan calon dibuat pada saat akhir menyebabkan persediaan terbantut.
“Saya akan pastikan sistem itu diubah semuanya, ini memberi ruang kepada KEADILAN untuk memilih dan menyaring calon seawal Ogos 2014 dan mula diberikan tauliah untuk berkhidmat di kerusi masing-masing.
“Kaedah ini akan memberi ruang kepada calon untuk membina nama baik di kalangan pengundi dan membentuk jentera dalam menghadapi PRU 14,” jelas Saifuddin pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Menyentuh aspek kedua, untuk berdepan serangan Umno berhubung isu perkauman yang menakutkan pengundi Melayu, Saifuddin berkata, perkara ini perlu ditangani secara tersusun.
“Ia perlu dijawab oleh pimpinan muda Melayu KEADILAN berserta rakan PAS dan DAP,” katanya.
Bagi aspek ketiga, KEADILAN akan turut menumpukan golongan muda dengan memberi peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen muda untuk berada dalam kepimpinan parti.
“Bakat-bakat sedia ada dalam parti dari kalangan Adun dan Ahli Parlimen muda perlu diberi peluang menguruskan fungsi penting di dalam parti dan berada dalam kepimpinan parti, bukan lagi hanya tertumpu kepada kepimpinan Angkatan Muda.
“Memandangkan majoriti 60 peratus pengundi pada PRU 14 adalah pengundi muda, usaha ini perlu lebih kencang dan tersusun dengan memberi peluang kepada mereka menguruskan fungsi penting dalam parti,” ujar Saifuddin.
“Saya yakin jika ketiga-tiga perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik, peluang untuk menumpaskan Umno BN lebih cerah dalam PRU 14,” tambah beliau

No comments:

Post a Comment